SEJARAH KEPTAN

 
Ibu Pejabat KEPTAN Semananjung Malaysia


Setelah sedia maklum sebelum wujudnya 'KEPTAN' (Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Semenanjung Malaysia) sebenarnya Pembantu Tadbir (Pendidikan) dahulunya digelar Kerani Sekolah kemudian Pegawai Kerani. Kesatuan Pegawai Kerani Pendidikan telah pun ditubuhkan pada tahun 60an. Dan banyak perkara yang telah diperolehi oleh Kerani Sekolah. Di antaranya meletakkan jawatan Kerani Sekolah yang di bawah lantikan Lembaga Pengurus Sekolah kepada lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (lantikan tetap), mewujudkan jawatan Kerani Kanan (sekarang Pembantu Tadbir N22), meminta adakan 'Close Service' untuk kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan agar penghijrahan Kerani Kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam ke agensi Kementerian Pendidikan disekat,


Malangnya Kesatuan ini telah dibatalkan dalam tahun 80an kerana tidak melaksanakan peraturan-peraturan Kesatuan Sekerja. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana dimasa itu yuran bulanan ahli tidak dibuat melalui potongan Perkhidmatan Biro Angkasa tetapi hanya dengan kutipan dibuat oleh Bendahari Agung atau wakil negeri sahaja.



Pada 4 Ogos 1991 beberapa orang Pembantu Tadbir dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah bermuafakat untuk menubuhkan semula Kesatuan ini yang mana mesyuarat penubuhan diadakan di Jabatan Pendidikan Selangor, Shah Alam dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Y.Bhg. Tuan Hj. Jumali bin Kasan. Ahli Jawatankuasa penaja adalah terdiri dari Pembantu Tadbir secara sukarela, mengorbankan masa, tenaga mahupun wang ringgit.



Pada 15 November 1992 Mesyuarat Agung penubuhan telah diadakan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Shamsudin bin Dahlan, Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia.



Penubuhan semula ini adalah di atas kesedaran dan keinsafan yang dialami Pembantu Tadbir (Pendidikan) yang menghadapi beban kerja yang bertambah dari masa ke semasa terutamanya yang bertugas di sekolah di samping kebajikan Pembantu Tadbir tiada pembelaan.



Setelah Ahli Jawatankuasa Penaja ditubuhkan, sampai masanya untuk melaksanakan pendaftaran dengan Pengarah Pendafataran Kesatuan Sekerja. KEPTAN mendapat tentangan dari beberapa pihak terutamanya Kesatuan AUEGCAS yang mana Presidennya adalah Presiden CUEPACS, Saudara A.H.Ponniah. Beliau membuat beberapa bantahan agar KEPTAN tidak ditubuhkan. Nasib KEPTAN sungguh baik kerana kelulusan telah diberi oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 2 Mei 1995 tetapi dengan syarat 'Sekiranya KEPTAN terbatal sekali lagi, pihak Pendaftar Kesatuan Sekerja tidak akan membenarkan Pembantu Tadbir (Pendidikan) menubuhkan Kesatuan lagi'.



Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula mengeluarkan satu surat pekeliling kepada semua Bahagian di Kementerian Pendidikan Pendidikan Malaysia dan semua Pengarah Pendidikan Negeri - KP (PP)0089/61/1/Jilid. 2(18) bertarikh 11 Julai 1995. Semua Ahli Jawatankuasa Penaja mengorak langkah menjelajah Semenanjung Malaysia dengan perbelanjaan sendiri membantu wakil negeri menubuhkan cawangan mengikut Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang difikirkan wajar.



Mesyuarat Agung Tahunan Pertama diadakan pada 27 dan 28 September 1996 bertempat di Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan dan dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Malik bin Hamzah. Setiausaha Bahagian Pembangunan Organisasi dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pemilihan Ahli Jawatankuasa EXCO bagi tempoh 1996/1998 telah diadakan.
 
Sumber : Portal Rasmi KEPTAN Semenanjung Malaysia


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan